5 Tips Kurangkan Gula Dalam Pengambilan Makanan Untuk Kekal Sihat

1. Berhenti dari minum air berkabonat
Untuk menghasilkan air berkarbonat, ia memerlukan kuantiti gula yang sangat banyak. Antara perkataan yang perlu diberikan perhatian adalah ‘High Fructose Corn Syrup’ (HFCS), iaitu jenis gula yang digunakan dan tidak boleh dijadikan sumber tenaga dalam badan. Sebaliknya, ia ditukarkan menjadi lemak semata-mata. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa ia langsung tidak menyumbang kebaikan kepada kesihatan dan sangat memudaratkan.

Bagi anda yang sudah terbiasa meminum air berkarbonat, gantikan amalan ini dengan meminum air kosong. Cuba amalkan untuk menghabiskan satu liter botol air dalam sehari dan lama-lama anda akan lihat sendiri hasilnya.

2. Kurangkan pengambilan nasi
Nasi sememangnya makanan yang wajib untuk tekak orang Melayu. Tak sah kalau tak ada nasi untuk apa jua hidangan. Tapi, ada kalanya kita juga perlu memastikan jumlahnya perlulah dalam keadaan terkawal. Nasi putih mempunyai kadar glisemik yang tinggi yang boleh menyebabkan kadar gula dalam darah naik. Cuba untuk kurangkan kekerapan pengambilan nasi kepada sekali sehari dengan kuantiti yang kurang. Elakkan makan nasi pada waktu malam bagi membantu proses pencernaan yang lebih baik.

3. Lebihkan buah-buahan

Makanan seperti kek, kuih-muih dan biskut mengandungi kalori dan gula yang tinggi berbanding snek sihat seperti buah-buahan. Buah-buahan mengandungi glukos yang menghasilkan rasa manis secara semulajadi, dan ianya jauh lebih elok berbanding manisan buatan (tiruan). Seperti contoh, kuih lepat pisang mengandungi 13gram gula tambahan, sementara buah pisang emas tidak mempunyai gula tambahan. Namun, anda masih perlu berwaspada dengan pengambilan buah-buahan kerana ianya masih manis dan akan masih akan memberi kesan kepada dalaman kita.

4. Baca label makanan

Sikap kurang peka untuk memeriksa label makanan dalam kalangan masyarakat kita menyebabkan kita tidak tahu kuantiti yang diambil dan bahan-bahan yang digunakan dalam makanan tersebut. Oleh itu, anda boleh mula biasakan dengan membaca label makanan supaya dapat mengetahui kandungan gula yang akan digunakan dalam makanan tersebut. Ini juga dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak semasa pembelian mahupun semasa mengawal jumlah makanan yang diambil.

Selain itu, sekiranya gula tersenarai dibahagian awal senarai ramuan, ini bermaksud gula merupakan bahan utama makanan tersebut. Jadi, buatlah pilihan yang bijak sebelum membeli ya.

5. Ubah suai resipi jika perlu

Salah satu cara yang paling mudah untuk kurangkan pengambilan gula dalam makanan adalah dengan mengubah suai tahap gula dalam masakan. Contohnya makanan seperti kek atau biskut yang sememangnya banyak menggunakan gula. Kandungan gula untuk membuat coklat cip cupcake sahaja sudah mencecah 100gram dan itu belum termasuk gula yang yang diperlukan untuk membuat hiasan yang manis di atas cupcake tersebut. Oleh itu, cuba kurangkan kuantiti gula kepada separuh daripada kuantiti asal kerana ia tidak akan menjejaskan rasa makanan tersebut.